Wednesday, February 15, 2012

Jeti Perlabuhan


lelaki ini yang pernah ku kenali
sebagai anak muda yang sangat pemalu
dari pekan perlabuhan yang jauh,
masih terlihat rumah kecil itu.
masih kuat dalam ingatanku.
tubuh ringannya
apabila berjalan akan sedikit senget pada bahu kiri
kacamatanya besar,
seolah ia mahu melihat seisi dunia

hari ini
dia sudah menjadi saudagar di kota besar.
tubuhnya pun turut sama makmur
dengan pengalaman dan ilmunya.
sudah tidak lagi malu-malu
rentak bicara sudah rancak, sinis pula.
bait-bait kata sudah tajam,
pandai pula mengancam.
walaupun suaranya masih antara ada dan tiada

aku yang masih berani
berdiri di jeti dan memerhati,
senang mengingati alunan harmonika
masak seperti remang senja dalam sanubari
mengamati transfomasi
ulat itu sudah menjadi rama-rama
mengelilingi dunia.
dan di jeti ... deru ombak masih mesra
cuma tiada kapal kecil mau pun bot berlabuh di sini